Eloknya Danau Toba Danau Toba ialah tasik terbesar di Indonesia, dengan 100 kilometer panjangnya serta 30 kilometer lebarnya. Terletak di tengah bahagian utara Sumatera, dengan aras permukaan setinggi lebih kurang 900 meter (3,000 kaki), tasik ini terbentang dari 2.88° U 98.52° T ke 2.35° U 99.1° T. Geologinya Pada tahun 1949, Rein van Bemmelen, ahli geologi Belanda, melaporkan bahawa Danau Toba ialah sebuah kaldera gunung berapi yang besar yang dikelilingi oleh selapis batuan ignimbrit. Para penyelidik yang kemudian menemui debu riolit yang serupa dengan lapisan ignimbrit Danau Toba (kini dipanggil Tuf Toba Muda untuk membezakannya daripada lapisan-lapisan yang termendap oleh letupan-letupan dahulu) di Malaysia dan India, iaitu sehingga 3,000 kilometer jauhnya dari danau ini. Para ahli oseanografi menemui debu Toba yang memiliki ciri-ciri kimia tersendiri di dasar Lautan Hindi timur serta Teluk Benggala. |